Baddrol Bakhtiar Ceburi Dunia Politik, Calon PN Bagi Dun Gurun
July 27, 2023 Hafizuddin Omar

Legenda bola sepak Kedah Darul Aman FC dan bekas kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar sah menceburi dunia politik apabila diumumkan sebagai calon bagi Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengumuman itu dibuat dalam majlis pengumuman calon PN Kedah di Kompleks PAS Kedah, pada malam tadi.

Sekitar pertengahan Julai lalu, Sabah FC yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee memaklumkan Baddrol tidak lagi bersama skuad berjulukan Sang Badak sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini. Turut diberitahu, perpisahan terbabit diambil melalui persetujuan bersama.

Malahan, kenyataan Sabah FC yang mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi turut mengundang pelbagai spekulasi mengenai masa depan pemain tengah berusia 35 tahun terbabit.

Untuk makluman, dalam PRN yang lalu, kerusi DUN Gurun dimenangi oleh Pakatan Harapan-Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR), Datuk Johari Abdul dengan 10,732 undian mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Boey Chin Gan, calon Parti Islam Semalaysia (PAS), Muzaini Azizan dan calon bebas Palaniappan Marimuthu. 

Bagaimanapun, beliau bertindak mengosongkan kerusi tersebut berkuat kuasa serta-merta sekitar pertengahan Disember lalu sebelum dilantik sebagai Yang Di-Pertua (Speaker) Dewan Rakyat pada 19 Disember.

Sementara itu, seorang lagi legenda bola sepak negeri jelapang padi tersebut merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Radhi Mat Din turut sama diumumkan sebagai calon bagi mewakili PN di DUN Alor Mengkudu dalam PRN kali ini.

Penyandang bagi kerusi tersebut adalah Dato’ Ir. Haji Phahrolrazi Bin Haji Zawawi dari PH-Amanah yang memenangi PRN lalu dengan undian sebanyak 8,840 mengalahkan calon PAS, Dato’ Haji Ahmad Saad @ Yahaya dan calon BN, Abdul Malik Saad.

Akhir sekali, Presiden KFA merangkap “caretaker” Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor pula disenaraikan oleh PN untuk mempertahankan kerusi DUN Jeneri yang dimenanginya dengan 10,626 undia dalam PRN lalu.

Featured Image: FA Kedah

Komen