Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agung, Noor Azman Rahman menasihatkan kepada para pemain bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memberikan kenyataan media serta mengambil pengajaran daripada kes melibatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim.
Terdahulu, badan induk bola sepak negara mengesahkan Faisal yang juga merupakan pemain sayap skuad kebangsaan dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tertib FAM yang bersidang pada petang Selasa (25 Julai 2023).
“Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.”
“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023. Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.” kata Azman menerusi siaran media yang dikeluarkan menjelang tengah malam tadi.
Bagaimanapun, Azman di dalam siaran tersebut tidak menyatakan secara khusus kenyataan dilontarkan Faisal yang didakwa melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM dan Kod 82 Statut FAM itu.
Dalam kenyataan yang sama, Azman memaklumkan terdapat satu lagi kes melibatkan Faisal yang membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023. Namun begitu, pemain berusia 25 tahun ini dan seorang lagi pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.
“Surat rasmi mengenai pemakluman keputusan kes-kes tersebut telah pun dihantar kepada Selangor FC, hari ini (semalam).” tambahnya lagi.
Dengan penggantungan selama sebulan itu, khidmat Faisal tidak boleh digunakan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC (KL City), Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan menentang PDRM FC dalam saingan Piala Malaysia.
“Walau bagaimanapun, Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM.” tambah Azman lagi.
Untuk makluman semua, Jawatankuasa Tatatertib FAM dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan sebuah badan bebas yang terdiri daripada antara lain individu-individu berlatarbelakangkan profesion pengamal undang-undang sebagai ahli-ahli jawatankuasanya dan merupakan salah satu Badan Kehakiman FAM.
Featured Image: Selangor FC