Terbuka Jepun: Aaron-Wooi Yik Ke Suku Akhir, 6 Lagi Terkandas Di Pusingan 16
July 27, 2023 Hafizuddin Omar

Hanya satu sahaja wakil Malaysia iaitu beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya melakar kemaraan ke peringkat suku akhir Terbuka Jepun 2023.

Langkah tersebut tercipta susulan meraih kemenangan ke atas beregu No.4 Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana di Pusingan 16, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia menundukkan lawannya dengan mudah dan mengakhiri perlawanan bertempoh 24 minit itu dengan skor 21-12 dan 21-10.

Kemenangan itu sekaligus membawa mereka bertemu beregu handalan tuan rumah, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada hari esok, untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, baki enam lagi wakil negara yang berentap di Pusingan 16 terpaksa akur tumpas kepada lawan masing-masing.

Ianya bermula dengan beregu wanita, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tumpas kepada gandingan No.1 dunia, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan secara “straight set” dengan skor 15-21 dan 13-21.

Kemudiannya, dua beregu lelaki, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi serta Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mengikut jejak langkah yang sama tumpas kepada lawan masing-masing.

Yew Sin-Ee Yi tumpas kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi-lin dengan skor 21-15, 18-21 dan 16-21.

Manakala Sze Fei-Izzuddin pula ditundukkan beregu China yang berada di ranking ketujuh dunia, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi secara “straight set” dengan skor 14-21 dan 17-21.

Tidak lama kemudian, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong pula merekodkan kekalahan di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe secara “straight set” dengan skor 17-21 dan 14-21. 

Akhir sekali, dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Chan Peng Soon dan Cheah Yee See mengulangi skrip yang sama dengan tumpas kepada gandingan Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong serta Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen