Dua Bekas Kapten Liverpool, Gerrard & Henderson Bergabung Di Al Ettifaq
July 28, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab yang beraksi dalam Liga Pro Saudi (SPL), Al Ettifaq menjadi tempat penyatuan semula dua bekas kapten Liverpool.

Ini susulan kelab berjulukan Faris Ad-Dahna bimbingan Steven Gerrard mengumumkan mendapatkan khidmat Jordan Henderson secara rasmi menerusi laman sesawang rasmi serta pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Dimaklumkan, pemain berusia 33 tahun terbabit mengikat kontrak bersama Al Ettifaq sehingga tahun 2026. Perpindahan Henderson ke Al Ettifaq ini hadir selepas 12 tahun bersama Liverpool.

https://twitter.com/Ettifaq_EN/status/1684523750966849537?s=20

Sepanjang tempoh itu, Henderson yang dilantik sebagai kapten Liverpool sejak tahun 2015 telah meraih kesemua trofi pertandingan utama seperti Piala Liga, Piala FA, Liga Perdana Inggeris (EPL), Super Cup UEFA, Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Berdasarkan statistik pula, Henderson telah merekodkan 492 penampilan, mencipta 61 “assist” dan menjaringkan 33 gol untuk skuad berjulukan The Reds itu.

Sementara itu, Gerrard yang turut sama pernah berperanan sebagai kapten Liverpool sejak tahun 2003 pula dilantik sebagai ketua jurulatih Al Ettifaq sekitar awal Julai lalu.

Untuk makluman semua, Gerrard dan Henderson akan memulakan kempen SPL 2023/24 bersama Al Ettifaq dengan menentang kelab yang diwakili oleh Cristiano Ronaldo, Al Nassr yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos nanti.

Featured Image: Al Ettifaq FC

Komen