Terbuka Jepun: Juara Dunia 2021 Singkir Juara Dunia 2022
July 28, 2023 Hafizuddin Omar

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa akur tumpas kepada Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi dalam pertemuan terbaru membabitkan kedua-dua pihak yang berlangsung di Terbuka Jepun 2023.

Gandingan Aaron-Wooi Yik yang muncul juara Kejohanan Dunia BWF 2021 mengalami kekalahan di tangan Hoki-Kobayashi merangkap juara Kejohanan Dunia BWF 2022 pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Aaron-Wooi Yik bermula langkah kanan dengan mencatatkan kemenangan 21-10 pada set pertama.

Bagaimanapun, mereka terlepas peluang untuk menoktahkan kemaraan Hoki-Kobayashi pada set kedua apabila tumpas dengan skor 15-21 sekaligus mengheret pertarungan ke set penentuan.

Pada set penentuan pula, Hoki-Kobayashi yang beraksi di hadapan majoriti penyokong sendiri berhasil meneruskan konsistensi persembahannya dan mengakhirinya dengan skor 21-16 sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.

Untuk makluman semua, pertarungan melibatkan beregu yang menghuni ranking keempat dan kelima masing-masing ini mengambil masa sehingga satu jam dan lima minit sebelum menemui pemenangnya.

Pada masa yang sama, kekalahan Aaron-Wooi Yik ini juga menandakan tiada lagi kelibat wakil negara dalam saingan Terbuka Jepun edisi kali ini.

Semalam, Aaron-Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara mara ke peringkat suku akhir selepas berjaya menundukkan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.

Manakala enam lagi wakil negara lain yang terpaksa akur tumpas kepada lawan masing-masing di peringkat Pusingan 16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen