Kim Pan-gon: Oman Kuat Fizikal Dan Mental
July 28, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dilihat menarik nafas lega apabila Malaysia dapat mengelak daripada bertembung gergasi benua asia seperti Jepun, Korea, Iran mahupun Australia pada Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dalam majlis undian yang berlangsung di AFC House, semalam, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Oman (ranking ke-73), Kyrgyzstan (ranking ke-97) serta pemenang perlawanan pusingan 1 Chinese Taipei (ranking ke-153) dan Timor Leste (ranking ke-192).

Walaupun, tidak bertemu pasukan berstatus gergasi, jurulatih kelahiran Korea ini tetap tidak memandang mudah cabaran Kumpulan D terutamanya dua pasukan lawan dari negara arab dan asia tengah masing-masing terbabit. 

“Kita tak boleh cakap (lawan dalam Kumpulan D) mudah tetapi lebih baik daripada kumpulan lain, tetapi bergantung kepada diri kita sendiri bagaimana kita membuat persiapan yang mencukupi atau bagaimana kita bina kekuatan diri yang maksimum, melakukan pendekatan strategi dan taktikal yang bagus untuk bersaing di pentas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian terbabit.

 

Jurulatih berusia 54 tahun ini turut melihat Oman sebagai pasukan yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental selain daripada antara pasukan yang kuat di timur tengah. Pada masa yang sama, perjalanan untuk ke kedua-dua negara itu juga sukar.

Bagi pusingan kelayakan kali ini, Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Kyrgyzstan di gelanggang sendiri pada 16 November kelak diikuti dengan menentang samada Chinese Taipei atau Timor Leste pada 21 November.

Pada Mac 2024, Malaysia akan menentang Oman di tempat lawan pada 21 Mac sebelum pulang untuk menentang Oman sekali lagi di tempat sendiri pada selang lima hari kemudian.

Bagi dua perlawanan terakhir, Malaysia dijadualkan menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun di tempat lawan sebelum menutup saingan Kumpulan D dengan bertemu Chinese Taipei atau Timor Lester di tempat sendiri pada 11 Jun.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen