Bekas Kapten Atletico Madrid Bersara Pada Usia 37 Tahun
July 31, 2023 Hafizuddin Omar

Pertahanan tengah serta bekas kapten yang menyarung jersi Atletico Madrid selama hampir sedekad, Diego Godin bersara sebagai pemain bola sepak pada usia 37 tahun.

Menurut laporan Reuters, persaraan pemain kelahiran Rosario, Uruguay itu hadir selepas mewakili kelabnya, Velez Sarsfield menentang Huracan dalam perlawanan akhir Liga Argentina pada Ahad.

Bagaimanapun, keputusan perlawanan tersebut tidak mengiringi penoktahan karier Godin dengan manis apabila Velez Sarsfield tumpas 0-1 kepada Huracan. 

Untuk makluman semua, Godin memulakan karier bola sepak profesionalnya sekitar tahun 2003 di CA Cerro – sebuah pasukan di negara kelahirannya – sebelum berpindah menyertai sebuah lagi pasukan yang lebih terkenal di Uruguay iaitu Nacional pada tahun 2006.

Namun begitu, jodohnya bersama Nacional hanya bertahan semusim sahaja sebelum kelab yang beraksi dalam kancah LaLiga, Valencia tampil mengikat khidmatnya pada tahun 2007.

Tiga musim berikutnya, Godin tampil di ibu negara Sepanyol dengan menyertai Atletico Madrid yang menyaksikannya kekal menyarung jersi berbelang merah dan putih itu sehingga tahun 2019.

Sepanjang tempoh itu, Godin menikmati puncak kariernya sebagai pemain bola sepak dengan menjulang beberapa trofi kejohanan utama seperti Copa del Rey (12/13), LaLiga, Supercopa de Espana (13/14), Liga Europa UEFA (11/12, 17/18) dan Super Cup UEFA (10/11, 12/13, 18/19).

Sementara itu, bersama skuad kebangsaan Uruguay, Godin yang tampil sebanyak 161 kali serta mencetak lapan gol dan mencipta tujuh bantuan gol turut menjulang trofi Copa America pada tahun 2011.

Komen