Fabinho Tinggalkan Liverpool, Sertai Al Ittihad Sehingga Tahun 2026
August 1, 2023 Hafizuddin Omar

Fabio Henrique Tavares atau dikenali sebagai Fabinho menjadi pemain terbaru yang bertindak meninggalkan kancah bola sepak eropah dan menuju ke saingan Liga Pro Saudi (SPL) dengan menyertai Al Ittihad – pasukan yang disertai Karima Benzema dan N’golo Kante.

Kelab berjulukan Al Numoor mengesahkan mengikat khidmat bekas pemain tengah Liverpool yang bakal berusia 30 tahun pada Oktober kelak itu menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, awal pagi tadi.

Pihak kelab turut memaklumkan Fabinho menandatangani kontrak selama tiga tahun yang menyaksikannya kekal menyarung jersi Al Ittihad sekurang-kurangnya sehingga tamat saingan SPL musim 2026.

Untuk makluman, tempoh kontrak yang diberikan Al Ittihad kepada Fabinho ini sama seperti yang diberikan kepada Benzema dan Kante.

Sebagai tambahan, penghijrahan Fabinho ke Al Ittihad ini hadir selepas lima tahun bersama Liverpool – setelah memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala Liga, Piala FA, Perisai Komuniti, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Sepanjang tempoh separuh dekad bersama Liverpool, Fabinho telah tampil sebanyak 219 kali disamping merekodkan 11 gol dan 10 bantuan gol buat rakan sepasukannya.

Fabinho, Benzema dan Kante di bawah bimbingan Nuno Espirito Santo akan akan memulakan kempen SPL 2023/24 dengan menentang Al-Raed FC pada 14 Ogos nanti.

Featured Image: Al Ittihad

Komen