Atlet muda kebangsaan, Umar Osman sekali lagi mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 400 meter (m) ketika beraksi dalam Pusingan 1 (Saringan 1) di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China pada hari ini.
Umar yang berusia 20 tahun dan merupakan penuntut Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang mencipta rekod tersebut apabila menamatkan larian dalam pusingan itu di tempat kedua dengan catatan masa 46.33 saat (s).
Catatan itu sekaligus meleburkan rekod kebangsaan, 46.34s, yang turut dicipta oleh Umar sendiri ketika merangkul pingat emas di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Umar juga melayakkan diri secara automatik ke peringkat separuh akhir acara 400m hasil menamatkan larian di tempat kedua dalam Pusingan 1 terbabit.
Turut mengiringi Umar ke peringkat separuh akhir adalah pelumba Australia, Holder Reece Nathaniel dan Nigeria, Thovoethin Seweken yang menamatkan larian di tempat pertama (46.10s) dan ketiga (46.68s) masing-masing.
Sebagai tambahan, Umar dijadualkan berentap di peringkat separuh akhir pada hari esok dalam Saringan 3 bermula jam 10 pagi waktu Malaysia.
Featured Image: Sukan IPT