Terbuka Australia: 3 Beregu Lelaki Negara Mara Ke Pusingan 16
August 1, 2023 Hafizuddin Omar

Tiga daripada empat beregu lelaki negara yang beraksi pada hari pertama saingan Terbuka Australia 2023 berhasil mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing sekaligus mengesahkan tempat ke Pusingan 16.

Ianya bermula dengan pasangan bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi berhasil meraih kemenangan ke atas beregu Kanada yang berada di ranking ke-41 dunia, Adam Dong dan Nyl Yakura menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-6 dan 21-14 dalam tempoh 47 minit permainan.

Kemudiannya, beregu No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengikuti jejak langkah itu setelah menumpaskan pasangan tuan rumah, Allen Fang dan Michael Su dengan mudah secara “straight set” 21-5 dan 21-6 dalam tempoh 17 minit permainan.

Tidak lama kemudian, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin turut sama meraih kemenangan apabila berhasil mengatasi beregu Chinese Taipei, Ming Che Lu dan Tang Kai Wei juga secara “straight set” dengan skor 21-15 dan 21-14 dalam tempoh 29 minit permainan.

https://twitter.com/BWFScore/status/1686326066032627712?s=20

Namun begitu, beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun terpaksa akur tumpas di tangan beregu Chinese Taipei, Chiang Chien-Wei dan Wu Hsuan-Yi sekaligus terkandas di Pusingan 32.

Sementara itu, pada peringkat seterusnya di kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 ini, Aaron-Wooi Yik selaku pilihan kedua kejohanan akan membuat perhitungan dengan beregu Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh dan Yang Ming-Tse untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Manakala Sze Fei-Izzuddin pula akan berhadapan dengan pasangan Korea yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae pada Pusingan 16 yang dijadualkan berlangsung Khamis nanti.

Bagi Yew Sin-Ee Yi pula, mereka bakal berhadapan samada sepasang lagi beregu negara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong atau pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi-lin.

Lawan bagi Yew Sin-Ee Yi di Pusingan 16 ini akan diketahui selepas selesainya pertembungan antara Azriyn-Wee Kiong dan Lee-Wang pada pagi esok.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen