Penyerang skuad kebangsaan Senegal, Sadio Mane menjadi pemain bintang baharu yang menyertai Al Nassr – kelab yang juga memiliki khidmat pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali iaitu Cristiano Ronaldo.
Kelab berjulukan Al-Alami yang berpangkala di Riyadh itu mengesahkan kedatangan pemain berusia 31 tahun terbabit menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, sekitar awal pagi tadi waktu Malaysia.
Dalam makluman itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Nassr, Ahmed Alghamdi memperkenalkan Mane secara rasmi selepas menandatangani kontrak yang bertempoh selama empat tahun atau sehingga musim 2027.
Senegal Boy, Senegal Hero 💛🇸🇳
Beware The Lion 🦁 pic.twitter.com/00LffXaReO
— AlNassr FC (@AlNassrFC_EN) August 1, 2023
Pada masa yang sama, Mane turut diberikan nombor kegemarannya iaitu No.10 untuk disarung sepanjang beraksi bersama Al Nassr.
Untuk makluman, Mane berhijrah ke Al Nassr selepas hanya semusim bersama kelab bola sepak gergasi Jerman, Bayern Munich – yang sepatutnya diikat dengan kontrak sehingga penghujung musim 2025.
Tempoh semusim bersama Bayern itu menyaksikannya berhasil tampil sebanyak 38 kali dalam pelbagai pertandingan dan merekodkan 12 gol disamping mencipta enam “assist” buat rakan sepasukannya.
Statistik itu membantu dirinya dan Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga dan trofi DFL-Supercup.
Sebagai tambahan, Mane bersama-sama Ronaldo akan membuka kempen Liga Pro Saudi (SPL) 2023/24 dengan menentang Al Ettifaq bimbingan Steven Gerrad yang turut dikuatkan dengan pemain tengah, Jordan Henderson pada 15 Ogos nanti.
Featured Image: Al Nassr FC