Terbuka Australia: Tang Jie-Ee Wei Bertembung Semula Pitha-Haningtyas Di Pusingan 16
August 2, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan bertembung semula dengan lawan yang dihadapi dalam saingan Malaysia Masters 2023, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Rivaldi pada Pusingan 16 di Terbuka Australia pada hari esok.

Pertembungan itu terhasil selepas Tang Jie-Ee Wei berjaya menumpaskan gandingan campuran Korea-Australia, Lee Jae Sun dan Chris Ho pada Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei merangkap pilihan kelapan kejohanan meraih kemenangan mudah secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-4 dalam tempoh 19 minit permainan.

Sementara itu, Rinov-Haningtyas pula mara ke peringkat yang sama selepas mengalahkan beregu senegaranya, Dejan Ferdinansyah dan Gloria Emanuelle Widjaja menerusi tiga set permainan yang sengit dengan skor 14-21, 21-15 dan 21-15 dalam tempoh 55 minit permainan.

Sebagai rekod, pertemuan yang berlangsung di Malaysia Masters pada Mei lalu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei tumpas di Pusingan 32 menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-11 dan 15-21.

Untuk makluman, gandingan Rinov-Haningtyas kini berada di ranking ke-17 manakala Tang Jie-Ee Wei pula sedang menghuni ranking ke-14 dunia.

Featured Image: Petronas Malaysia Masters 2023

Komen