Kali terakhir perseorangan badminton lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia melangkah ke Pusingan 16 dalam kejohanan disertainya adalah di saingan Malaysia Masters 2023 yang berlangsung pada penghujung Mei lalu.
Selepas daripada itu, Zii Jia yang menghuni ranking ke-17 dunia kandas di Pusingan 32 dalam empat kejohanan berturut-turut yang disertainya – Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.
Namun begitu, kemarau kemaraan tersebut menemui titik noktahnya apabila Zii Jia berhasil menumpaskan rakan senegara, Leong Jun Hao pada Pusingan 32 di Terbuka Australia, pada hari ini.
Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia berhasil melakar kemenangan selepas mengharungi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-17 dan 21-16 dalam masa satu jam dan empat minit permainan.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Zii Jia melakar kemenangan ke atas Jun Hao di pentas antarabangsa selepas bertemu buat julung kalinya di saingan Remaja Belanda 2016.
Sementara itu, kemaraan Zii Jia ke Pusingan 16 Terbuka Australia – Jelajah Dunia BWF Super 500 – akan menemukannya dengan pemain India yang menghuni ranking ke-50 dunia, Mithun Manjunath untuk merebut tempat ke peringkat suku akhir.
Untuk makluman semua, Mithun mara ke Pusinga 16 selepas mengejutkan pemain Singapura yang muncul naib juara di Terbuka Korea dua minggu lalu, Loh Kean Yew secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-19 dalam tempoh 41 minit permainan.