Artikel

Aidil Ketua Jurulatih Baharu Kuching City – Disertakan Pilihan Lanjut Kontrak 1 Musim

Pasukan yang menghuni tangga ke-13 Liga Super, Kuching City FC bertindak melantik ketua jurulatih baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2023.

Individu yang menjadi pilihan skuad berjulukan The Cats ini ialah Aidil Sharin Sahak kelahiran Singapura merangkap merupakan bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC bagi musim 2019 hingga 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City, Iswandy Ali Hassan memaklumkan pihaknya memberikan kontrak selama lima bulan dengan pilihan lanjutan selama semusim kepada Aidil.

“Sepanjang Coach Aidil bersama pasukan bersama lima bulan ini, kita ada membuat pilihan jugak, lanjutan kontrak untuk coach pada tahun hadapan,

“Sekarang ini kontrak lima bulan, ada optional (pilihan) dia, kita akan tambah untuk semusim lagi, untuk tahun hadapan,” katanya dalam sidang media ringkas yang disiarkan platform media sosial rasmi kelab, semalam.

Pada masa yang sama, Iswandy turut memaklumkan kekal dalam saingan Liga Super pada musim 2024 menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) buat jurulatih berusia 46 tahun ini.

Dalam sidang media yang sama, Iswandy juga mengumumkan bekas ketua jurulatih sementara Kuching City kelahiran negeri Sarawak, Firdaus Morshidi dilantik sebagai penolong ketua jurulatih. 

Pengumuman perlantikan Aidil dan Firdaus ini adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti Abu Salim dan Sulaiman Hussin susulan perletakan jawatan mereka sebagai ketua jurulatih dan penolong ketua jurulatih sebelum ini.

Sebagai rekod, selama tiga musim bersama Kedah Darul Aman, Aidil membawa pasukan berkenaan muncul juara Piala FA 2019 serta naib juara Liga Super 2020 dan 2021.

Featured Image: Malaysian Football League

komen