Perseorangan badminton lelaki No.2 tanah air, Ng Tze Yong mencipta kejutan dengan menyingkirkan pemain No.5 dunia pada Pusingan 16 sekaligus mara ke peringkat suku akhir Terbuka Australia 2023.
Bukan itu sahaja, Tze Yong turut melakar kejutan ke atas Jonatan Christie merangkap pilihan ketujuh kejohanan dengan bergaya apabila meraih kemenangan secara “straight set” dalam pertarungan yang berlangsung di Gelanggang 1, Quaycentre, Sydney Olympic Park, sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu, Tze Yong yang kini di tangga ke-21 dunia mengakhiri permainan dengan skor 22-20 dan 21-15 dalam tempoh 50 minit permainan.
SATHIO GROUP Australian Open 2023
MS – R16
22 21 🇲🇾NG Tze Yong🏅
20 15 🇮🇩Jonatan CHRISTIE🕚 in 50 minutes
— BWFScore (@BWFScore) August 3, 2023
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan julung kalinya dicatatkan Tze Yong dalam tiga pertemuan menentang Jonatan di pentas kejohanan antarabangsa.
Dua pertemuan yang berlangsung di Terbuka Swiss 2022 dan Piala Thomas 2020 menyaksikan Tze Yong tumpas dua perlawanan berturut-turut.
Sementara itu, lawan buat Tze Yong di peringkat suku akhir belum lagi diketahui pada ketika ini.
Bagaimanapun Tze Yong akan bertemu pemenang samada rakan senegaranya merangkap perseorangan lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia atau pemain India yang menghuni ranking ke-50 dunia, Mithun Manjunath.
Featured Image: Sathio Group Australian Badminton Open