Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua merangkap “caretaker” Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menjanjikan Selangor FC meraih kejuaraan Liga Super menjelang tahun 2025 sebagai salah satu tawaran buat para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Selain itu, beliau yang merupakan bekas pengurus skuad berkenaan turut menjanjikan skuad berjulukan Red Giants itu merangkul kejuaraan Piala Malaysia serta mara ke perlawanan akhir dan menjulang trofi Piala AFC pada tahun 2027.
Pada masa yang sama, Amiruddin juga menjanjikan kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) menjelang 2025.
Beliau bercakap mengenai perkara berkenaan ketika melancarkan “Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor” – manifesto daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) buat para pengundi di negeri Selangor.
“Selangor berazam dan bertekad untuk lima tahun yang akan datang untuk mengembalikan Selangor sebagai jaguh sukan dan pusat pembangunan sukan di dalam negara kita,”
“Justeru, kita akan memperkasakan Akademi Merah Kuning dimana akademi ini akan melatih lebih 1,000 bakat-bakat baharu untuk bola sepak negeri Selangor dan sekaligus kita berazam untuk menjadi dan mencapai sasaran kita dengan kejuaraan tiga serangkai dalam tempoh lima tahun pentadbiran ini,
“Menjadi pasukan yang memenangi Piala Malaysia, menjadi juara keseluruhan SUKMA, menjadi juara Liga Super menjelang tahun 2025 dan juga menjadi juara dan sampai ke final Piala AFC pada tahun 2027,” katanya semasa membentangkan tawaran berkenaan baru-baru ini.
Untuk makluman semua, manifesto berkenaan menggariskan lima teras utama untuk dijayakan pihaknya sekiranya dipilih menjadi kerajaan bagi penggal berikutnya. Lima teras tersebut adalah seperti berikut:
- Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi
- Islam Sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor
- Perkhidmatan Kerajaan yang Cekap dan Efisien
- Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni
- Selangor Negeri Penyayang yang Membela Kepentingan Rakyat
Di bawah lima teras tersebut, terdapat 52 program secara keseluruhan untuk semua lapisan masyarakat di negeri berkenaan.
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) August 1, 2023
Featured Image: Selangor FC