Perseorangan lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia berjaya mara ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan antarabangsa yang disertainya buat kali pertama selepas empat bulan pada tahun ini.
Kemaraan ini menyusul selepas penghuni ranking ke-17 dunia ini berhasil menumpaskan rakan senegara merangkap pemain No.2 tanah air, Ng Tze Yong di peringkat suku akhir Terbuka Australia, pada hari ini.
Bagaimanapun, kemenangan ini tidak datang bergolek dengan mudah buat Zii Jia.
Dalam pertarungan tersebut, Tze Yong terlebih dahulu berjaya merakamkan kemenangan pada set pertama dengan skor 21-17 sebelum Zii Jia bangkit pada set kedua dengan skor 26-24 sekaligus mengheret permainan ke set ketiga untuk mencari pemenangnya.
SATHIO GROUP Australian Open 2023
MS – QF
17 26 21 🇲🇾LEE Zii Jia🥇21 24 19 🇲🇾NG Tze Yong
🕚 in 83 minutes
— BWFScore (@BWFScore) August 4, 2023
Pertarungan pada set ketiga tidak kurang sengitnya namun Zii Jia berhasil memastikan kemenangan berpihak kepadanya apabila mengakhiri permainan dengan skor 21-19.
Untuk makluman, pertarungan julung kalinya antara Zii Jia dan Tze Yong di pentas Jelajah Dunia BWF ini berlangsung selama 83 minit permainan.
Sementara itu, pada peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada hari esok, Zii Jia akan bertemu pemain China merangkap naib juara Malaysia Masters 2023, Weng Hong Yang untuk merebut tiket ke perlawanan akhir Terbuka Australia.
Sebagai rekod, Hong Yang mara selepas menumpaskan pemain No.10 dunia dari Chinese Taipei, Chou Tien Chen secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-16 dalam tempoh 47 minit permainan.
Featured Image: Sathio Group Australia Badminton Open