Artikel

Terbuka Australia: Aaron-Woi Yik Tumpas Julung Kalinya Di Tangan Beregu No.2 Taiwan

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik belum pernah mengalami kekalahan apabila bertemu Lu Ching Yao dan Yang Po Han – gandingan No.2 Taiwan pada saat ini – dalam empat pertemuan di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, pertemuan kelima yang berlangsung pada peringkat suku akhir di Terbuka Australia pada hari ini berkesudahan dengan keputusan yang sebaliknya – Ching Yao-Po Han melakar kemenangan buat julung kalinya.

Lebih mengejutkan, Ching Yao-Po Han melakar kemenangan itu dengan bergaya secara “straight set” dengan skor 21-15 dan 21-17 dalam tempoh masa sekitar setengah jam sahaja.

Dengan kekalahan ini, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan kedua kejohanan merangkap juara Kejohanan Dunia BWF gagal melangkah ke peringkat separuh akhir dalam tiga kejohanan terakhir disertai mereka secara berturut-turut.

Sementara itu, Ching Yao-Po Han yang meraih kemenangan berjaya meluncur ke peringkat separuh akhir bagi saingan Jelajah Dunia BWF Super 500 ini.

Menantinya di peringkat terbabit adalah beregu No.1 Jepun merangkap pilihan ketiga kejohanan, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Featured Image: Sathio Group Australian Badminton Open

komen