Penyerang sayap skuad kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim diberikan kelonggaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kembali turun menjalani sesi latihan bersama kelabnya berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, hukuman penggantungan selama sebulan bermula dari 25 Julai sehingga 23 Ogos 2023 yang dikenakan ke atasnya kekal tidak berubah, umum FAM melalui satu siaran media yang dikongsikan pada hari ini.
Kelonggaran tersebut diberikan kepada penyerang berusia 25 tahun terbabit selepas Jawatankuasa Rayuan FAM bermesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.
Dimaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh CP (Bersara) Dato’ Sri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff memberikan kelonggaran tersebut agar Faisal dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.
Keputusan Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Rayuan FAM
Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermesyuarat buat kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.
▶️ Baca penuh di https://t.co/wuDIqcnhhX#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/gMTXbE3Vt8
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 5, 2023
Sebagai rekod, Faisal dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan ekoran melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.
Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023.
Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.
Featured Image: Selangor FC