Kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan yang ditinggalkan Chiew Chun Yong terisi apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Rakphol Sainetngam sebagai ketua jurulatih futsal Harimau Malaya yang baharu, pada hari ini.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memaklumkan individu berusia 44 tahun yang pernah memimpin skuad futsal kebangsaan negaranya mara ke pusingan 16 saingan Piala Dunia Futsal FIFA 2021 diberikan kontrak awal selama dua tahun untuk membimbing skuad futsal Harimau Malaya.
Selain membimbing skuad kebangsaan negara kelahirannya, Rakphol turut mempunyai reputasi cemerlang dalam dunia futsal terutamanya ketika bersama Rattanabundit University (2009-2012) dan Bluewave Chonburi (2012-2019) menjuarai tujuh gelaran Liga Futsal Thailand Kejuaraan Futsal Kelab AFC (2013, 2017) dan Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2019.
Sebelum menandatangani kontrak bersama FAM, Rakphol pernah berkelana di Indonesia dengan melatih Black Steel FC Papua (2020-2023) yang yang muncul juara di Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 pada Mei lalu serta menghuni tempat ketiga dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia 2022/23.
Penglibatan Rakphol dalam futsal tidak terhad kepada skuad lelaki sahaja bahkan beliau turut mempunyai pengalaman melatih skuad futsal wanita. Antara pencapaiannya bersama skuad wanita adalah merangkul pingat emas Sukan SEA 2011, pingat emas Kejuaraan Universiti ASEAN (2010, 2015) serta tempat ketiga di Kejuaraan Futsal AFC 2015.
Rakphol akan memulakan tugasnya secara rasmi apabila para pemain akan berkumpul untuk menyertai kem latihan pusat pada 10 September hadapan sebagai persiapan menjelang kelayakan Piala Asia Futsal 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2023.
Saingan kelayakan itu menyaksikan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan G bersama-sama Iraq, Uzbekistan dan Kemboja. Ketiga-tiga pasukan ini akan dihadapi oleh anak-anak buah Rakphol pada 7, 9 dan 11 Oktober masing-masing di Uzbekistan.
Untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2024, Malaysia perlu muncul juara kumpulan atau menempatkan diri dalam kelompok tujuh naib juara terbaik dalam kalangan lapan naib juara merentasi semua kumpulan.
Sebagai tambahan, Rakphol merupakan individu asing (bukan tempatan) yang keempat memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan selepas Vic Hermans (1996), Silvio Machado (2003-2006) dan Marcelo Serpa (2014-2017).