Andres Iniesta Berhijrah Ke Liga Pro UAE Pada Usia 39 Tahun
August 8, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab yang beraksi dalam kancah Liga Pro Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Emirates FC menjadi kelab baharu buat Andres Iniesta – bekas pemain FC Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol.

Perkembangan itu hadir apabila Emirates tampil mengucapkan selamat datang kepada pemain tengah berusia 39 tahun terbabit menerusi video berdurasi 10 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Beberapa jam sebelum Emirates berkongsikan video berkenaan, wartawan bola sepak terkenal berita dalaman mengenai perpindahan melibatkan pemain-pemain antarabangsa iaitu Fabrizio Romano telah mendedahkan hal berkenaan.

Menurutnya, Iniesta akan menandatangani kontrak bersama kelab berpangkalan di Ras Al-Khaimah itu selama setahun beserta pilihan lanjutan hingga Jun 2025.

Pihak kelab turut memberikan nombor jersi kegemarannya iaitu No.8 untuk disarung sepanjang bersama Emirates.

Bagaimanapun, ketika artikel ini ditulis, Emirates masih tidak mendedahkan kepada umum mengenai perincian kontrak Iniesta terbabit.

Untuk makluman semua, Emirates berjaya mendapatkan khidmat Iniesta secara percuma. Ini berikutan Iniesta bergelar ejen bebas (free agent) setelah tidak menyambung kontrak bersama kelabnya yang terdahulu, Vissel Kobe yang beraksi dalam saingan J.League.

Sebagai rekod, Iniesta beraksi selama lima tahun bersama Vissel Kobe sebelum membuat keputusan berpisah dengan kelab yang sinonim dengan jersi berwarna maroon pada awal Julai lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, Iniesta telah tampil sebanyak 134 kali disamping menjaringkan 26 gol dan mencipta 25 “assist” dalam kesemua saingan domestik mahupun antarabangsa bersama Vissel Kobe.

Sementara itu, kelab baharu yang diwakili Iniesta ini akan membuka kempen Liga Pro UAE 2023/24 dengan menentang Al Wasl pada 19 Ogos kelak.

Komen