Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mempamerkan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia susulan mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia, minggu lalu.
Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Zii Jia mempamerkan lonjakan sebanyak empat anak tangga sekaligus meletakkan dirinya di tangga ke-13 dunia bagi minggu ke-32 tahun ini.
Untuk makluman, kejayaannya mara ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia BWF yang bertaraf Super 500 pada Sabtu lalu telah memberikannya sebanyak 6,420 mata.
Pungutan mata itu dicampur dengan sembilan kejohanan terbaiknya dalam tempoh setahun yang lalu menjadikannya mengumpul 56,576 secara keseluruhan.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan lonjakan ketara buat Zii Jia dalam kedudukan Ranking Dunianya setelah merekodkan penurunan sejak sekitar pertengahan Jun lalu.
Sementara itu, perseorangan lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong yang tumpas kepada Zii Jia pada peringkat suku akhir Terbuka Australia pada minggu lalu mempamerkan penurunan satu anak tangga dan menghuni tangga ke-22 dunia pada kali ini.
Manakala, pemain No.3 negara, Leong Jun Hao yang tewas kepada Zii Jia pada Pusingan 32 di kejohanan yang sama pula melakar kenaikan lima anak tangga dan berada di tangga ke-46 dunia.
Featured Image: Sathio Group Australian Badminton Open