Beregu badminton lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mempamerkan peningkatan yang berterusan dalam kedudukan Ranking Dunia sejak kembali beraksi bersama-sama bermula saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS), sekitar pertengahan Julai lalu.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan Sze Fei-Izzuddin mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-28 dunia pada minggu ke-32 ini.
Peningkatan ketara ini didorong oleh kemaraan mereka ke Pusingan 16 di Terbuka Australia pada minggu lalu yang memberikan mereka 3,600 mata.
Pungutan mata itu bersama-sama pungutan mata daripada lapan kejohanan terbaik mereka sejak Ogos tahun lalu membolehkan mereka mengumpul 37,800 mata secara keseluruhan.
Sementara itu, pengamatan terhadap beberapa beregu yang lain menyaksikan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kekal sebagai gandingan lelaki No.1 negara dengan menghuni tangga keempat dunia hasil daripada mengumpul 80,144 mata.
Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pula turut sama mengekalkan status mereka sebagai gandingan lelaki No.2 negara namun mereka mengalami kejatuhan satu anak tangga dan terpaksa menghuni tangga kelapan dunia dengan pengumpulan sebanyak 70,140 mata.
Akhir sekali, gandingan lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula kekal di tangga ke-25 dunia dengan kutipan 42,220 mata.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia