Pesta Bola Merdeka: Kim Pan-gon Sasar Juara, Seru Penyokong Ke Stadium
August 9, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon tetap menyasarkan Malaysia mara ke perlawanan akhir dan muncul juara Pesta Bola Merdeka – kejohanan bola sepak jemputan tertua asia – yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober kelak.

Biarpun menyedari skuad berjulukan Harimau Malaya bakal berhadapan pasukan-pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dan lebih kuat, jurulatih kelahiran Korea berusia 54 tahun ini berani meletakkan sasaran sedemikian atas faktor Malaysia beraksi di laman sendiri – Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Jelasnya lagi, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pasukan tuan rumah dan Pan-gon mahu menggunakannya untuk mencapai sasaran terbabit termasuk menggesa rakyat Malaysia turun ke stadium memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

“Walaupun kita (mempunyai) ranking yang rendah berbanding pasukan lawan, (lawan yang) lebih kuat berbanding kita, tetapi kita beraksi di halaman sendiri, kami mahu memanfaatkan kesemua kelebihan,”

“Harapnya, semua rakyat Malaysia datang ke stadium untuk menyokong kami, kami meletakkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir dan menjadi juara,” katanya selepas ditemui para pengamal media selepas majlis undian terbabit.

Dalam sesi undian yang berlangsung di Wisma FAM, semalam, Malaysia telah diundi bertemu India (ranking ke-99) pada Perlawanan 1. 

Sekiranya menang dan mara ke perlawanan akhir, Malaysia akan merebut trofi kejuaraan bagi edisi ke-42 ini samada daripada Palestin (ranking ke-96) atau Lubnan (ranking ke-100).

Sebagai rekod, Malaysia merupakan pemenang terbanyak bagi kejohanan ini dengan muncul juara sebanyak 10 kali disamping menjadi juara bersama Republik Korea sebanyak dua kali.

Untuk makluman, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menganjurkan Pesta Bola Merdeka buat kali pertama selepas menyepi selama sedekad – selepas menganjurkannya buat kali terakhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada tahun 2013.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen