Al-Ikhsan Perkenalkan Servis Pembantu Digital Peribadi Untuk Beli-Belah Di Kedai
August 9, 2023 Hafizuddin Omar

Peruncit sukan utama di Malaysia, Al-Ikhsan Sports tampil memperkenalkan servis pembantu digital peribadi dalam kedai sekaligus membawakan satu pengalaman membeli-belah yang baharu buat para pelanggannya.

Servis itu hadir selepas Al-Ikhsan Sports mengumumkan kolaborasi dengan sebuah syarikat pemula analisis peruncit tempatan, ComeBy dalam satu majlis yang berlangsung di Al-Ikhsan The Curve, Mutiara Damansara pada hari ini.

Menerusi kolaborasi ini, pelanggan yang datang membeli belah di Al-Ikhsan boleh menggunakan servis ini menerusi telefon pintar masing-masing.

Caranya mudah sahaja dengan mengimbas kod QR yang tersedia di setiap seksyen atau ruangan produk-produk di dalam kedai Al-Ikhsan.

Sebagai contoh, sekiranya anda ke ruangan t-shirt dan melakukan imbasan pada kod QR yang tersedia, ianya akan membolehkan anda mendapatkan maklumat produk, pilihan saiz yang ada serta pilihan produk yang seumpamanya.

Selain itu, dengan hanya menekan butang di skrin telefon pintar anda, ia juga membenarkan pelanggan mendapatkan t-shirt dengan saiz yang dimahukan untuk dicuba dihantar terus kepada anda yang berada di situ oleh staf. 

Antara ciri lain ditawarkan, pelanggan boleh menyemak stok sesuatu produk di cawangan Al-Ikhsan yang lain serta memuat naik produk kesukaan anda ke “wishlist”.

Tidak dilupakan, anda juga boleh menekan butang untuk memanggil staf bagi mendapat bantuan yang diperlukan.

Pada masa akan datang, difahamkan, servis ini membolehkan anda untuk melakukan bayaran secara terus menerusi telefon pintar dan membawa pulang produk yang dibeli tanpa perlu ke kaunter.

Dimaklumkan, servis pembantu digital peribadi dalam kedai ini telah tersedia untuk dirasai oleh para pelanggan di cawangan Al-Ikhsan MyTown dan Al-Ikhsan IOI City Mall, Putrajaya.

Untuk makluman, Al-Ikhsan MyTown dan Al-Ikhsan IOI City Mall bersama-sama tiga lagi cawangan lain telah menawarkan servis ini sejak awal tahun – sebagai projek rintis dan fasa pertama daripada Al-Ikhsan dan ComeBy.

Setelah berpuas hati dengan penerimaan dan maklum balas pelanggan daripada projek rintis berkenaan, mereka tampil meluaskannya kepada kepada Al-Ikhsan The Curve berserta 50 lagi cawangan lain secara berperingkat untuk fasa kedua.

Bagi pihak Al-Ikhsan Sports sendiri, kolaborasi ini pula membolehkan mereka memanfaatkan teknologi untuk memahami metrik utama trafik, menilai penukaran di kedai dan boleh meningkatkan prestasi kedai individu dengan meletakkan inisiatif untuk mendorong trafik, meningkatkan visual imej bahagian hadapan kedai dalam jejak yang lebih tinggi atau memastikan dagangan visual yang lebih kukuh atau membawa masuk produk yang paling sesuai untuk jualan.

Komen