Artikel

Kejohanan Berbasikal Dunia: Azizulhasni Akhiri Saingan Keirin Di Tempat Ke-9

Jaguh berbasikal trek tanah air, Datuk Azizulhasni Awang menamatkan saingan keirin di tempat kesembilan pada Kejohanan Berbasikal Dunia UCI 2023 di Glasgow, Scotland.

Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman terlepas peluang untuk melangkah ke pusingan akhir ekoran gagal menamatkan perlumbaan peringkat separuh akhir (saringan 1) dalam kelompok tiga terakhir.

Dalam perlumbaan tersebut, Azizul melintasi garisan penamat sebagai pelumba keempat selepas daripada Kevin Santiago (Colombia), Jack Carlin (Great Britain) dan Harrie Lavreysen (Belanda).

Susulan keputusan itu, Azizul yang merupakan juara pada edisi 2017 hanya ke perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12.

Dalam pusingan penentuan terbabit, Azizul terpaksa berpuas hati di posisi kesembilan apabila menamatkan perlumbaan di belakang Matthew Glaetzer (Australia) dan Kaiya Ota (Jepun).

“Bukanlah keputusan yang saya mahukan untuk penampilan terakhir di kejohanan dunia ini namun saya harus menerima dengan hati yang terbuka. 

“Kita merancang, Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Dari sudut yang positif, saya masih mendapat banyak kutipan mata untuk kelayakkan ke Sukan Olimpik Paris 2024.” ujarnya selepas perlumbaan.

Sementara itu, kejuaraan pada edisi kali ini dirangkul oleh Kevin Santiago. Manakala Matthew Richardson (Australia) dan Shinji Nakano (Jepun) pula membawa pulang pingat perak dan gangsa masing-masing.

Featured Image: UCI

komen