Sukan Komanwel Remaja: Li Hen Sumbang Emas Pertama Buat Malaysia
August 10, 2023 Hafizuddin Omar

Perenang muda negara, Goh Li Hen muncul penyumbang pingat emas pertama buat Kontinjen Malaysia apabila memenangi pusingan akhir acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki pada temasya Sukan Komanwel Remaja 2023 yang berlangsung di Trinidad dan Tobago.

Atlet berusia 17 tahun terbabit melakar kemenangan tersebut diiringi catatan masa selama 2 minit dan 3.63 saat dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, pagi tadi (waktu Malaysia).

Sementara itu, Reuben Rowbotham-Keating (England, 2 minit dan 3.84 saat) dan Jarden Dylan Eaton (Afrika Selatan, 2 minit 6.07 saat) membawa pulang pingat perak dan gangsa masing-masing.

Terdahulu, Li Hen berhasil menempatkan diri ke pusingan akhir apabila mengungguli saringan 2 dengan catatan masa 2 minit 5.75 saat yang turut disusuli Reuben di tempat kedua.

Pada masa yang sama, Kontinjen Malaysia turut menambah pungutan pingat menerusi atlet berbasikal, Nur Alyssa Mohd Farid yang meraih pingat perak dalam acara pecut wanita mengatasi pelumba Scotland, Sarah Johson.

Bagaimanapun, Kontinjen Malaysia terlepas peluang untuk menambah satu lagi koleksi pingat apabila seorang lagi wakil negara dalam acara yang sama, Yong Ann Tung tewas kepada pelumba Australia, Liliya Tatarinoff dalam perebutan pingat gangsa.

Sebagai rekod, Kontinjen Malaysia kini telah mengumpul tiga butir pingat – termasuk satu pingat gangsa yang dimenangi oleh atlet berbasikal, Lau New Joe, 18 tahun, dalam acara lebuh raya pada Isnin.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen