Real Madrid Hilang Penjaga Gol Utama 3 Hari Sebelum Perlawanan Pertama
August 11, 2023 Hafizuddin Omar

Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid menerima satu tamparan hebat selepas penjaga gol utamanya, Thibaut Courtois disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lutut kirinya.

Susulan pengesahan itu, pemain kelahiran Belgium yang berusia 31 tahun itu perlu menjalani pembedahan dan memerlukan tempoh hampir semusim untuk pulih – sekaligus hilang khidmat Courtois bagi tempoh masa yang panjang.

Bertambah malang buat kem Real Madrid, pengesahan kecederaan Courtois terbabit hadir kira-kira tiga hari sebelum perlawanan menentang Athletic Bilbao bertempat di Stadium San Mames yang merupakan perlawanan pertama bagi saingan LaLiga 2023-24.

Pada masa yang sama, skuad senior Real Madrid bimbingan Carlo Ancelotti hanya mempunyai seorang sahaja penjaga gol simpanan iaitu Andriy Lunin kelahiran Ukraine yang kini berusia 24 tahun.

Biarpun telah menyertai Real Madrid sejak musim 2018, Andriy lebih banyak beraksi sebagai pemain pinjaman di beberapa buah kelab lain sekitar Sepanyol berbanding beraksi bersama skuad berjulukan Los Blancos.

Sepanjang musim lalu, Andriy hanya diturunkan sebanyak sebanyak 12 kali secara keseluruhan dimana tujuh daripadanya dalam saingan LaLiga serta dua penampilan dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA masing-masing. Manakala baki satu penampilan lagi adalah dalam saingan Copa del Rey.

Dijangka, situasi ini akan memaksa Real Madrid untuk mendapatkan khidmat seorang lagi penjaga gol untuk berperanan sebagai “backup” kepada Andriy sebelum tutupnya jendela perpindahan musim panas LaLiga pada 1 September kelak.

Featured Image: Real Madrid CF

Komen