Artikel

Sukan Komanwel Remaja: Malaysia Kutip Perak & Gangsa Menerusi Berbasikal Trek

Kontinjen Malaysia berhasil menambah dua butir pingat pada hari terakhir temasya Sukan Komanwel Remaja 2023 di Trinidad dan Tobago menerusi acara berbasikal trek.

Pertamanya, kontinjen negara menambah koleksi pingat perak apabila pelumba berusia 18 tahun, Darwish Putra Muhd Sanusi menamatkan pusingan akhir pelumbaan keirin lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 11.462 saat (s).

Manakala pingat emas menjadi milik Tayte Ryan (11.392s) dari Australia dan pingat gangsa pula menjadi milik pelumba tuan rumah, Syndel Samaroo (11.620s).

Seterusnya, seorang lagi pelumba muda negara, Muhammad Hafiq Mohd Jafri, 18 tahun, menghadiahkan pingat gangsa setelah menamatkan acara ujian masa 1000 meter (m) lelaki.

Hafiq yang juga merupakan pembawa Jalur Gemilang bagi Kontinjen Malaysia merangkul pingat terbabit apabila merekodkan masa ketiga terpantas iaitu 1 minit dan 4.944s.

Sementara itu, Tayte Ryan turut sama merangkul kilauan emas daripada acara ini apabila merekodkan masa 1 minit dan 3.663s. 

Manakala pingat perak pula menjadi milik pelumba Scotland, Calum Moir dengan catatan masa 1 minit dan 3.923s.

Secara keseluruhannya, Kontinjen Malaysia memungut lima pingat pada temasya kali ini yang terdiri daripada satu emas serta dua perak dan gangsa masing-masing.

Sebagai perbandingan, ini merupakan satu peningkatan yang memberangsangkan berbanding penyertaan Sukan Komanwel Remaja edisi lalu di Bahamas pada tahun 2017 – dimana Kontinjen Malaysia pulang dengan tangan kosong.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

komen