Artikel

Presiden KFA Dilantik Semula Sebagai MB Kedah

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dilantik semula sebagai Menteri Besar sekaligus kekal memimpin Kedah Darul Aman.

Ianya susulan beliau yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah selesai mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit pada pagi tadi.

Sanusi yang berusia 49 tahun dilantik semula ke jawatan tersebut selepas partinya meraih kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu.

Beliau yang bertanding di DUN Jeneri meraih kemenangan dengan majoriti 16,050 undian mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Muhamad Khizri Bin Abu Kassim yang mendapat 5,773 undian sekaligus mempertahankan kerusi tersebut.

Sebelum ini, Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 17 Mei 2020 selepas mendapat sokongan majoriti ADUN pada ketika itu.

Untuk makluman semua, Sanusi memegang jawatan sebagai Presiden KFA bagi penggal 2022 hingga 2026 selepas menang tanpa bertanding dalam Kongres KFA Ke-47 pada 6 April lalu.

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Kedah

komen