Ranking FIH: Speedy Tigers Huni Tangga Kesembilan Dunia
August 14, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad hoki lelaki kebangsaan bimbingan Arul Selvaraj berada di tangga kesembilan dunia menurut ranking oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas tamatnya saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023.

Terdahulu, Malaysia kembali semula ke posisi terbabit selepas menumpaskan Korea Selatan 6-2 pada peringkat separuh akhir kejohanan terbabit.

Kemenangan itu bukan sahaja melayakkan skuad berjulukan Speedy Tigers ke perlawanan akhir buat julung kalinya dalam sejarah penyertaan ACT bahkan memberikan tambahan 29.57 mata.

Tambahan mata itu menjadikan Malaysia mengumpul 2049.98 mata secara keseluruhan dan memintas Korea Selatan untuk menghuni ranking kesembilan dunia.

Ketika bertemu tuan rumah, India dalam perlawanan akhir yang berlangsung Sabtu lalu, Malaysia terpaksa akur tumpas dengan keputusan 3-4 sekaligus melenyapkan harapan untuk muncul juara.

Walaupun tumpas dan ditolak sebanyak 8.61 mata, kedudukan Speedy Tigers di tangga kesembilan dunia tidak terjejas serta kekal dengan pungutan sebanyak 2041.37 mata.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menghuni ranking kesembilan dunia adalah sekitar Januari lalu selepas menewaskan New Zealand dengan keputusan 3-2 pada perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala Dunia FIH 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation Facebook

Komen