Artikel

TMJ Nafi Jordi Amat Sertai Kelab Turki, Trabzonspor

Pada hari ini, beberapa media tempatan memetik laporan sebuah portal berpangkalan di Turki yang mendakwa pertahanan import milik Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat akan menyertai Trabzonspor – kelab yang beraksi dalam Liga Super Turki.

Bagaimanapun, pemilik skuad berjulukan Harimau Selatan, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tampil menyangkal dakwaan melibatkan pemain naturalisasi Indonesia berusia 31 tahun terbabit.

Baginda yang merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) tampil menafikan perkara berkenaan menerusi satu komen yang ditinggalkan pada hantaran oleh akaun Instagram, @malaysianfootballleague sekitar tengah hari tadi.

“Nope,” tulis TMJ ringkas pada ruang komen terbabit.

Menurut laporan portal terbabit, Trabzonspor berhasil memulakan kempen musim 2023-24 dengan langkah kanan memenangi perlawanan menentang Antalyaspor dengan keputusan 1-0.

Namun begitu, pengurusnya, Nenad Bjelica dikatakan kurang selesa dengan skuad sedia ada dan dikatakan mahukan pemain baharu – salah seorangnya ialah Jordi Amat.

Difahamkan, cadangannya terbabit mendapat lampu hijau daripada pihak pengurusan kelabnya.

Sebagai rekod, sebelum menyertai JDT pada 2022, Jordi Amat pernah beraksi bersama KAS Eupen (Belgium), Swansea (England), Rayo Vallecano, Real Betis dan Espanyol (Sepanyol).

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen