AFC Menjenamakan ACL Kepada ACL Elite – Format Baharu & Juara Raih AS$12 Juta
August 15, 2023 Hafizuddin Omar

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan saingan bola sepak tier tertinggi bagi benua asia iaitu AFC Champions League (ACL) dijenamakan kepada AFC Champions League Elite (ACL Elite) bermula musim 2024-25.

Bukan sahaja mengumumkan nama baharu, Jawatankuasa Eksekutif AFC selepas mengadakan mesyuarat secara maya semalam turut meluluskan beberapa perubahan terhadap beberapa perkara bagi saingan ini. 

Pertamanya, saingan ACL Elite ini akan ditandingi oleh 24 buah kelab sahaja – dikurangkan sebanyak 16 buah kelab berbanding saingan sebelum ini.

Keduanya, ianya akan menggunakan format “swiss-system” menggantikan saingan peringkat kumpulan sebelum ini persis yang digunakan oleh Liga Juara-Juara UEFA bermula musim 2024-25.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai format ini, 24 buah kelab itu akan dibagikan kepada dua buah kumpulan besar – Asia Barat dan Asia Timur. Setiap kumpulan akan diisi oleh 12 buah kelab masing-masing.

Setiap kelab akan turun beraksi sebanyak empat perlawanan di tempat sendiri serta empat perlawanan di tempat lawan menentang lapan buah kelab yang berbeza dari rantau masing-masing.

Lapan buah kelab terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke Pusingan 16. Untuk makluman, peringkat Pusingan 16 akan dimainkan secara timbal balik dan pemenang akan mara ke peringkat suku akhir.

Bermula peringkat suku akhir diikuti separuh akhir dan perlawanan akhir, ianya akan dimainkan secara “single leg” atau kalah mati di sebuah venue berpusat.

Ketiganya, AFC turut mengumumkan hadiah ganjaran wang tunai yang lebih lumayan buat juara iaitu berjumlah AS$12 juta – meningkat daripada AS$4 juta pada musim ini.

Manakala naib juara pula akan membawa pulang AS$6 juta – meningkat sebanyak AS$4 juta berbanding musim 2023-24.

Featured Image: AFC

Komen