Presiden PBSNT Angkat Sumpah MB Terengganu Penggal Kedua
August 15, 2023 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu mengangkat sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu, KDYMM Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Syarqiyyah, Chendering pada hari ini.

Ahli politik berusia 53 tahun ini dilantik semula ke jawatan ini selepas partinya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencatatkan kemenangan besar iaitu menyapu bersih kesemua 32 kerusi dalam DUN Terengganu.

Samsuri atau mesra dengan panggilan Dr. Sam sendiri turut meraih kemenangan dengan majoriti besar di kerusi yang ditandinginya iaitu sebanyak 17,286 undian mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Haji Suhaimi yang sekadar meraih 3,641 undian.

Sebagai rekod, Samsuri pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada penggal lalu pada 10 Mei 2018 setelah memenangi kerusi Ru Rendang dengan majoriti 6,028 undian.

Manakala partinya pula memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada ketika itu.

Untuk makluman semua, Dr. Sam mula memegang jawatan Presiden PBSNT secara automatik sekitar Julai 2018 sebelum disambung pada penggal berikutnya, 2021 hingga 2024. 

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu FB

Komen