AFC Perkenal AFC Challenge League – Saingan Bola Sepak Tier 3 Asia
August 15, 2023 Hafizuddin Omar

Penghujung tahun lalu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendedahkan akan menganjurkan sebuah kejohanan bola sepak antarabangsa yang baharu diletakkan pada tier ketiga selepas saingan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC yang kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Elit AFC dan Liga Juara-Juara 2 AFC masing-masing.

Ianya persis kepada saingan Liga Konferens (Conference League) anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bermula musim 2021-22 lalu.

Selepas mengadakan mesyuarat semalam, Jawatankuasa AFC mengumumkan kejohanan terbabit diberikan nama Liga Cabaran AFC (AFC Challenge League).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, saingan ini akan ditandingi sebanyak 20 buah kelab. Jumlah kelab berkenaan akan dibahagikan kepada lima buah kumpulan – setiap kumpulan diisi dengan empat buah kelab.

Saingan peringkat kumpulan akan dimainkan secara liga sepusingan (single round robin) di sebuah venue berpusat. Lapan pasukan terbaik akan layak ke saingan suku akhir.

Saingan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik manakala perlawanan akhir untuk mencari juara pula akan dimainkan secara satu perlawanan.

Untuk makluman, saingan ini akan bermula pada musim 2024-25 kelak dan hadiah kemenangan belum didedahkan secara rasmi oleh AFC.

Komen