Pemain yang memegang rekod perpindahan termahal dalam dunia bola sepak, Neymar bertindak meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dan menyertai kelab baharu iaitu Al Hilal.
Kelab baharunya yang berpangkalan di Kota Riyadh, Arab Saudi mengesahkan mengikat khidmat penyerang kelahiran Brazil berusia 31 tahun tersebut menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, awal pagi tadi.
Menerusi makluman berkenaan, Neymar diikat dengan kontrak selama dua musim yang menyaksikannya kekal bersama skuad berjulukan Al Za’eem sehingga penghujung musim 2025.
Ketika memperkenalkannya kepada umum, Neymar turut diberikan nombor jersi kegemarannya iaitu No.10 untuk disarungnya sepanjang bersama Al Hilal.
Untuk makluman, Neynar bertindak meninggalkan PSG yang berpangkalan di Kota Paris selepas enam musim beraksi bersama kelab berkenaan dengan rekod 174 penampilan dan 118 jaringan dalam pelbagai pertandingan.
Sementara itu, perpindahan ini menjadikan Al Hilal menambah satu lagi pemain berstatus bintang dalam kelabnya selepas menandatangani Ruben Neves, Kalidou Koulibaly dan Malcom.
Pada Isnin lalu, Al Hilal berjaya memulakan kempen Liga Pro Saudi (SPL) dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Abha hasil hatrik daripada Malcom.
Featured Image: Al Hilal