Hishamuddin Naik Pangkat, Dilantik Sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Terengganu
August 16, 2023 Hafizuddin Omar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, YB Hishamuddin Abdul Karim kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO yang baharu bagi negeri Terengganu.

Perkembangan itu hadir selepas Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan senarai portfolio seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Baca: JDT Menjadi ‘Benchmark Club’ Di Malaysia, Contoh Ikutan – Hishamuddin

Hishamuddin yang berusia 44 tahun bukanlah seorang individu yang asing dalam bidang sukan di Terengganu. Pada penggal lalu, beliau telah berperanan sebagai Timbalan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO.

Pada ketika itu, beliau menjadi timbalan kepada YB Wan Sukairi Wan Abdullah yang kini dilantik sebagai Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penggal ini.

Sementara itu, jawatan Timbalan Exco pada penggal ini diberikan kepada ADUN Rantau Abang, YB Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.

Untuk makluman, Hishamuddin juga merupakan sosok yang tidak asing dengan sukan bola sepak di Terengganu. Beliau menggalas jawatan sebagai Timbalan Presiden I Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sekitar Ogos 2018 sebelum meletakkan jawatan pada 1 Januari 2021.

Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menaikkan Nafuzi Zain untuk memimpin kelab bola sepak milik PBSNT iaitu Terengganu FC pada tahun 2019.

Antara lain, Hishamuddin diingati sebagai seorang Timbalan Presiden PBSNT yang berani menyertai Sesi Dialog Halatuju Bola Sepak Terengganu untuk berhadapan dengan para penyokong untuk menjawab pelbagai soalan terutamanya  mengenai Terengganu FC.

Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim

Komen