Manchester City (Man City) bimbingan Pep Guardiola mencipta sejarah baharu apabila menjulang Piala Super UEFA – perlawanan yang menemukan juara Liga Juara-Juara dan Liga Europa musim lalu – buat julung kalinya, awal pagi tadi.
Skuad berjulukan The Cityzen menjulang trofi berkenaan selepas berjaya menumpaskan juara Liga Europa daripada LaLiga, Sevilla menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan skor 5-4 bertempat di Stadium Karaiskakis, Greece.
Bagaimanapun, sebelum perlawanan dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti, Man City terlebih dahulu ketinggalan 0-1 hasil jaringan Youssef En-Nesyri pada minit ke-25.
Mujurlah Cole Palmer berjaya menanduk masuk bola hantaran cantik daripada Rodri menewaskan Yassine Bounou pada minit ke-63 untuk mengikat skuad bimbingan Jose Luis Mendilibar sehingga ke penghujung permainan.
Untuk pengetahuan semua, Man City merupakan kelab ke-25 yang berjaya mengukir namanya di trofi sejak ianya dipertandingkan secara rasminya bermula 1973.
Sebagai rekod, AC Milan, Barcelona dan Real Madrid muncul kelab yang paling berjaya dalam pertandingan ini dengan menjuarainya sebanyak lima kali masing-masing.
Featured Image: Manchester City