Saingan Pesta Bola Merdeka yang akan berlangsung antara 13 hingga 17 Oktober kelak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan dimeriahkan dengan pasukan yang menghuni ranking ke-110 dunia iaitu Tajikistan.
Perkembangan mengejutkan ini hadir ekoran Lubnan yang berada di ranking ke-100 dunia menyatakan terpaksa menarik diri daripada kejohanan ini kerana telah diundi dalam kumpulan yang sama dengan Palestin bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November nanti.
Terdahulu, majlis undian Pesta Bola Merdeka yang berlangsung pada 8 Ogos lalu menyaksikan Lubnan akan bertemu Palestin pada Perlawanan 1 manakala Malaysia pula diundi menentang India dalam satu lagi Perlawanan 1.
Siaran Media: Lebanon Tarik Diri, Tajikistan Ganti Sertai Pestabola Merdeka 2023
▶️ Baca penuh di https://t.co/YMcxoF9Jdn#FAM #HarimauMalaya #PestabolaMerdeka2023 pic.twitter.com/hADjucvecr
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 18, 2023
Justeru, Tajikistan yang mengesahkan penyertaan Pesta Bola Merdeka kali ini akan menggantikan slot ditinggalkan Lubnan untuk bertemu Palestin yang berada di ranking ke-96 dunia pada Perlawanan 1 tersebut.
FAM dalam kenyataannya pada hari ini memaklumkan menerima surat rasmi penarikan diri daripada Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) itu pada 14 Ogos (Isnin).
Setelah menerima surat terbabit, FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan Pesta Bola Merdeka yang telah dirangcang tidak terjejas.
Sehari kemudian iaitu pada 15 Ogos (Selasa), FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk menyertai kejohanan ini.
Featured Image: Tajikistan Football Federation