Semalam Main Dengan Sevilla, Hari Ini Sertai Al Hilal
August 18, 2023 β€’ Hafizuddin Omar

Kira-kira 24 jam selepas Yassine Bounou bermain bersama Sevilla FC dalam perlawanan Piala Super UEFA, penjaga gol yang terkenal dengan panggilan Bono ini diumumkan menyertai Al Hilal secara rasmi.

Kelab yang beraksi dalam kancah Liga Pro Saudi mengesahkan kehadiran pemain berusia 32 tahun merangkap penjaga gol skuad kebangsaan Maghribi tersebut menerusi satu video pendek berdurasi 47 saat.

Al Hilal mendedahkan berhasil mendapatkan khidmat Bono selama tiga musim sekaligus bakal menyaksikannya kekal hingga sekitar pertengahan tahun 2026.

Bono menandatangani kontrak dan diperkenalkan kepada umum oleh pengerusi kelab, Fahad Bin Saad dalam satu majlis yang diadakan di Paris, Perancis.

Al Hilal turut mengesahkan kepada para peminatnya bahawa Bono akan menyarung jersi bernombor 37 untuk saingan musim ini.

Untuk makluman semua, Bono menarik perhatian ramai peminat bola sepak apabila mempamerkan persembahan yang memberangsangkan dalam saingan Piala Dunia 2022.

Persembahan hebatnya dalam menjaga gawang telah membantu Maghribi mara ke peringkat separuh akhir – pasukan pertama dari benua afrika yang mencatatkan pencapaian sedemikian.

Sementara itu, di peringkat kelab, sejak menyertai Sevilla bermula musim 2019 secara pinjaman sebelum secara tetap pada 2020, Bono telah membantu skuad yang beraksi di Stadium Ramon Sanchez Pizcjuan menjuarai kejuaraan Liga Europa edisi 2019-20 dan 2022-23.

Sebagai tambahan, Bono menjadi pemain bintang kelima yang menyertai Al Hilal selepas Ruben Neves, Kalidou Koulibaly, Malcolm dan Neymar.

Komen