Skechers Memasuki Pasaran Bola Sepak, Lantik Harry Kane Sebagai Duta
August 18, 2023 Hafizuddin Omar

Jenama kasut global yang sinonim dengan keselesaan dari Amerika Syarikat, Skechers kini memasuki pasaran bola sepak dengan melancarkan but pertamanya yang bernama SKX_01.

Bukan itu sahaja, Skechers turut mengiringi pelancaran tersebut dengan mengumumkan penyerang skuad kebangsaan England serta Bayern Munich, Harry Kane dilantik sebagai duta jenamanya bagi jangka masa panjang.

Perlantikan itu menyaksikan penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad England – 56 gol – ini akan menjadi muka hadapan bagi pelancaran but pertama Skechers di United Kingdom (UK) dan eropah pada September kelak.

Sebelum melancarkan dan mengumumkan secara rasmi semalam, Kane telah menggunakan but Skechers buat beberapa minggu ketika menjalani aksi pramusim serta perlawanan pertamanya bersama Bayern Munich dalam saingan DFL-Supercup, minggu lalu. 

Bagaimanapun, but yang digunakannya itu hadir tanpa sebarang corak dan berwarna putih secara keseluruhannya serta tanpa sebarang logo Skechers.

Setelah dilancarkan secara rasmi, Skechers mendedahkan but pertamanya itu hadir dalam campuran warna biru dan turquoise serta disematkan dengan sedikit warna hijau fluorescent terutamanya pada logo S.

Untuk makluman semua, pembangunan dan pembuatan but ini mengambil kira pandangan pemain-pemain profesional yang mahukan kawalan tepat terhadap bola.

Para peminat bola sepak akan dapat menyaksikan Kane memperagakan but SKX-01 ini pada perlawanan Bayern Munich menentang Werder Bremen – perlawanan pertama Bundesliga musim ini – pada awal pagi esok (waktu Malaysia).

Pada masa yang sama, dengan penyertaan dalam pasaran bola sepak, Skechers secara rasminya menambah satu lagi sub jenamanya iaitu Skechers Football.

Difahamkan, selain but, Skechers Football akan menawarkan pelbagai produk lain pada masa akan datang.

 

Komen