Pingat emas bagi acara pecut 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia 2023 menjadi milik pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles.
Kilauan pingat terbabit menjadi milik pelari berusia 26 tahun terbabit apabila menamatkan perlumbaan akhir yang berlangsung di Budapest, Hungary awal pagi tadi (waktu Malaysia) selaku juara dengan catatan masa 9.83 saat (s).
Pingat perak pula dibawa pulang oleh pelari muda berusia 20 tahun Letsile Tebogo. Atlet kelahiran Botswana ini melintasi garisan penamat dengan catatan masa 9.88s.
Manakala pelari British berusia 28 tahun, Zharnel Hughes mengutip pingat gangsa selepas melintasi garisan penamat di belakang Tebogo.
THE DOUBLE IS ON 🔥@LylesNoah blazes to the 100m #WorldAthleticsChamps 🥇 in a world-leading 9.83 👀 pic.twitter.com/DSkXmtXMKe
— World Athletics (@WorldAthletics) August 20, 2023
Sebagai rekod, kemenangan oleh Noah menjadikan pingat emas bagi acara ini kekal menjadi milik pelari AS buat kali keempat berturut-turut selepas Justin Gatlin, Christian Coleman dan Fred Kerley menjuarainya pada edisi di London (2017), Doha (2019) dan Oregon (2022).
Sementara itu, jaguh pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang turut menyertai Kejohanan Olahraga Dunia buat kali pertama dalam kariernya terkandas di Pusingan 1.
Pelari berusia 19 tahun ini terkandas selepas menamatkan larian dalam Saringan 4 di tempat ketujuh dengan catatan masa 10.26s.
Sebelum itu, Azeem yang menyertai kejohanan ini menerusi “wild card” mengungguli perlumbaan peringkat kelayakan (pusingan 2) dengan catatan masa 10.24s.
Featured Image: World Athletics