Radhi Mat Din Exco Belia & Sukan Baharu Negeri Kedah
August 21, 2023 Hafizuddin Omar

Legenda bola sepak Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, YB Muhammad Radhi Mat Din kini merupakan salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Radhi yang turut terkenal dengan julukan kapten Marvel beraksi bersama skuad Hijau Kuning dari tahun 1986 hingga 2000 secara rasminya dilantik sebagai Exco selepas selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit pada pagi tadi.

Menerusi perkongsian oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor, Radhi diberikan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup serta Belia & Sukan. 

Untuk pengetahuan semua, portfolio Jawatankuasa Belia & Sukan sebelum ini dipegang untuk mantan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad bersama-sama Jawatankuasa Pelancongan, Seni & Budaya serta Jawatankuasa Pembangunan Usahawan & Koperasi. 

Terdahulu, Radhi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi kerusi Alor Mengkudu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dato’ Wira Mahfuz Omar dengan majoriti 10,104 undi.

Sebagai tambahan, pada saat ini, Radhi juga merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi penggal 2022-2026 serta Ahli Lembaga Pengarah Keda Darul Aman FC (KDA FC).

View this post on Instagram

A post shared by Kedah Darul Aman Football Club (@kedahdarulamanfc)

Pada masa yang sama, selain Radhi, seorang lagi Naib Presiden KFA iaitu Dato’ Mohd Salleh Saidin merangkap ADUN turut dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Kedah

Komen