Filipina Panggil 5 Pemain Liga Super Untuk Hadapi Chinese Taipei & Afghanistan
August 21, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan Filipina menyenaraikan lima pemain yang beraksi dalam kancah Liga Super bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada Jendela FIFA bulan September kelak.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan baru-baru ini, lima pemain yang disenaraikan Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) ialah Kevin Ray Mendoza, Patrick Reichelt (Kuala Lumpur City), Kevin Ingreso (Sri Pahang), Jose Porteria (Kelantan United) dan Manuel Ott (Kedah Darul Aman).

Selain lima pemain ini, terdapat juga beberapa bekas pemain yang pernah mewarnai pentas Liga Super yang kini beraksi di pelbagai negara lain dipanggil untuk menyertai skuad bimbingan Michael Weiss.

Antaranya Christian Rontini (bekas pemain Penang & Kelantan), Amani Aguinaldo (bekas PKNP FC), Bienvenido Maranon (bekas Johor Darul Ta’zim), Carli de Murga (bekas Terengganu, Johor Darul Ta’zim & Kelantan) dan Joshua Grommen (bekas PJ City).

 

Pada masa yang sama, skuad berjulukan The Azkals ini akan turut dikuatkan dengan beberapa pemain yang berkelana di eropah seperti Neil Etheridge (Birmingham City), Michael Kempter (Grasshopper Club Zurich), Patrick Strauss (FC Hansa Rostock), Miguel Reyes (SpVgg Greuther Furth II), Stephan Gerrit Holtmann (Antalyaspor), Santiago Rublico (Atletico de Madrid) dan Sebastian Rasmussen (Hobro IK).

PFF menyenaraikan 24 pemain ini adalah untuk menghadapi Chinese Taipei dan Afghanistan yang kini berada di ranking ke-153 dan ke-157 masing-masing.

Chinese Taipei menjadi lawan pertama mereka dengan ianya dijadualkan berlangsung pada 8 September bertempat di kandang lawan, Stadium Nasional di Kaohsiung.

Ianya diikuti dengan perlawanan menentang Afghanistan pada 12 September di halaman mereka sendiri, Stadium Bola Sepak Peringatan Rizal di Manila. 

Difahamkan, dua perlawanan ini turut berfungsi sebagai persiapan buat Filipina sebelum memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November kelak.

Untuk pengetahuan semua, Filipina kini menghuni ranking ke-135 dunia – berada satu anak tangga di atas Malaysia.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen