Kejohanan Olahraga Dunia: Pelari Wanita AS Raih Emas, Cipta Rekod Baharu – 10.65s
August 22, 2023 Hafizuddin Omar

Pingat emas bagi acara pecut 100 meter (m) kategori wanita di Kejohanan Olahraga Dunia 2023 turut menjadi milik pelari dari Amerika Syarikat (AS). Semalam, pingat emas dalam acara yang sama kategori lelaki menjadi milik pelari AS menerusi Noah Lyles.

Bagi acara wanita, kilauan pingat terbabit menjadi milik pelari berusia 23 tahun, Sha’Carri Richardson apabila muncul yang pertama melintasi garisan penamat dalam perlumbaan akhir yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Bukan itu sahaja, pelari kelahiran Texas ini turut menamatkan larian tersebut dengan catatan masa 10.65 saat (s) sekaligus menjadikannya sebagai rekod baharu bagi kejohanan ini.

Sementara itu, pingat perak dan gangsa pula menjadi milik pelari Jamaica iaitu Shericka Jackson dan Shelly-Ann Fraser-Pryce dengan catatan masa 10.72s dan 10.77s masing-masing.

Untuk pengetahuan semua, pingat emas yang dirangkul di Budapest, Hungary ini merupakan kemenangan di kejohanan besar yang pertama diraih oleh Sha’Carri.

Sebelum ini, dia pernah terlepas peluang untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik 2020 apabila digantung selama sebulan ekoran didapati positif ganja sekaligus menyebabkannya disisihkan daripada Kontinjen USA. 

Episod kedukaanya sebagai atlet olahraga turut bersambung dengan gagal melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia yang berlangsung di Oregon tahun lalu.

Komen