Bekas Penjaga Gol Man Utd Bersara Buat Kali Kedua
August 22, 2023 Hafizuddin Omar

Bekas penjaga gol skuad kebangsaan England dan Manchester United (Man Utd), Ben Foster mengumumkan untuk bersara buat kali kedua daripada karier bola sepak.

September tahun lalu, penjaga gol berusia 40 tahun ini telah mengumumkan persaraan menerusi saluran Youtube miliknya, The Cycling GK. Pada ketika itu, Foster mengumumkan perkara berkenaan selepas tidak lagi bersama Watford dan menolak tawaran Newcastle United.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Foster bertindak keluar daripada persaraannya dan menyertai Wrexham AFC – kelab milik Ryan Reynolds dan Rob McElhenney yang beraksi dalam Liga Nasional Vanarama.

Namun, selepas mengharungi empat perlawanan musim baharu League Two, Wrexham mengumumkan Foster membuat keputusan untuk “menggantungkan sarung tangannya” sekali lagi sekaligus berpisah dengan skuad berjulukan The Red Dragons ini.

Difahamkan, hasrat Ben untuk bersara telah disampaikan kepada pengurus, Phil Parkinson selepas perlawanan menentang Swindon Town, pada Sabtu lalu.

“Sejujurnya prestasi saya pada musim ini tidak mencapai tahap yang saya sendiri mahukan dan saya berasa ini masa yang sesuai untuk bersara,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan ini dibuat bukan sahaja baik untuk dirinya bahkan untuk pihak kelab dimana Wrexham mempunyai masa untuk menilai sebarang peluang sebelum tertutupnya jendela perpindahan. 

Untuk pengetahuan semua, Foster menjadi wira buat Wrexham apabila ketangkasannya menyelamatkan penalti dalam masa kecederaan ketika menentang Notts County pada perlawanan ke-43 Liga Vanarama memastikan skuadnya meraih kemenangan dengan keputusan 3-2.

Kemenangan itu telah memastikan Wrexham mendahului saingan Liga Vanarama sebelum mengesahkan kejuaraan pada perlawanan kedua terakhir ketika menentang Boreham Wood sekaligus meraih slot ke League Two – divisyen keempat bola sepak England.

Sebagai rekod, Foster telah membuat 12 penampilan secara keseluruhan bersama Wrexham sebelum bersara.

Featured Image: Wrexham AFC

Komen