Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon kembali menyenaraikan pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools untuk menyertai kem latihan pusat bermula 29 Ogos menjelang pertemuan menentang Syria dan China pada September kelak.
Pada Jun lalu, Dion Cools yang juga merupakan kapten skuad Harimau Malaya tidak dapat menyertai skuad untuk berhadapan dengan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea kerana melangsungkan majlis perkahwinannya.
Selain Dion Cools, Pan-gon turut memanggil kembali sepuluh pemain yang tidak tersenarai untuk menyertai kem latihan pusat dan dua perlawanan yang berlangsung pada Jun lalu.
Berdasarkan siaran media dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini, antaranya yang disenaraikan adalah dua penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Damien Lim serta Darren Lok, Quentin Cheng, Brendan Gan dan Nor Azam Abdul Azih.
Pada masa yang sama, jurulatih kelahiran Korea itu turut memanggil tiga orang pemain dari skuad Piala AFF 2022 – Sharul Nazeem Zulpakar, Sergio Aguero dan Nur Shamie Iszuan Amin.
Menariknya, Pan-gon turut memanggil pemain tengah muda Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berusia 23 tahun buat julung kalinya pada tahun ini, Nathaniel Shio Hong Wan.
Manakala baki 15 individu lain adalah muka sama yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu.
Untuk makluman, skuad Harimau Malaya bimbingan Pan-gon akan berhadapan Syria dan China yang kini berada di ranking ke-94 dan ke-80 masing-masing.
Kedua-dua perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 6 (Rabu) dan 9 (Sabtu) September di luar negara.
Featured Image: Buriram United