Abe Zam Exco Sukan Baharu Negeri Kelantan
August 23, 2023 Hafizuddin Omar

Negeri Kelantan menerima Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat yang baharu bagi penggal ini.

Perkembangan itu hadir selepas Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan porfolio-portfolio yang diamanahkan terhadap 10 Exco termasuk dirinya yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam satu sidang media, pada hari ini.

Bagi portfolio Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, ianya diamanahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putera iaitu YB Zamakhshari Muhamad atau turut dikenali dengan nama panggilan Abe Zam.

Untuk makluman semua, ahli politik berusia 42 tahun berkelulusan sains farmasi dari Liverpool John Moores University serta Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Universiti Utara Malaysia ini merupakan salah seorang daripada lima muka baharu yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada penggal ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Zamakhshari menang kerusi Apam Putera selepas berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Akbar Salim dalam pertandingan dua penjuru dengan majoriti 3,859 undi.

Untuk makluman semua, pada penggal yang lalu, Exco Belia, Sukan dan NGO dipegang oleh YB Wan Roslan Wan Hamat.

Pada penggal ini, Wan Roslan yang merupakan ADUN Pengkalan Kubor masih menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri namun diamanahkan dengan porfolio berbeza iaitu Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Nassuruddin turut mengumumkan ADUN Gual Ipoh, YB Bahari Mohamad Nor dilantik sebagai Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat.

Featured Image: Facebook Abe Zam

Komen