Thierry Henry Bimbing Skuad Olimpik Perancis
August 23, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak Perancis bawah 21 tahun (B-21) kini mendapat bimbingan penyerang legendanya, Thierry Henry.

Perkembangan ini hadir selepas Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengumumkan bekas pemain berusia 46 tahun tersebut dilantik sebagai ketua jurulatih skuad berjulukan Les Espoirs dengan kontrak sehingga 2025.

Perlantikan Henry oleh FFF adalah untuk menggantikan ketua jurulatih terdahulu, Sylvain Ripoll yang telah bersepakat dengan badan induk bola sepak Perancis untuk membawa haluan masing-masing.

Persepakatan itu hadir setelah skuad Perancis B-21 tersingkir pada peringkat suku akhir Kejohanan Eropah B-21 UEFA sekitar awal Julai lalu.

Sementara itu, selaku ketua jurulatih buat skuad Les Espoirs, ujian pertama Henry akan bermula dengan menentang Denmark dalam satu perlawanan antarabangsa pada 7 September kelak.

Selang empat hari kemudian, Perancis B-21 akan bertemu Slovenia dalam kelayakan Euro 2025.

Pada masa yang sama, Henry juga akan menggalas cabaran besar untuk mengemudi skuad Les Espoirs beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, Henry kali terakhir terlibat dalam bidang kejurulatihan adalah sekitar lapan bulan lalu – bersama skuad kebangsaan Belgium – sebagai penolong jurulatih di bawah teraju Roberto Martinez.

Selain itu, penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan Les Bleus ini turut pernah menjadi pengurus AS Monaco dan Montreal Impact.

Featured Image: FFF

Komen