Central Coast Mariners FC yang muncul naib juara A-League 2022-23 menjadi salah satu lawan yang akan dihadapi oleh Terengganu FC pada peringkat kumpulan saingan Piala AFC 2023-24.
Perkembangan ini hadir selepas berlangsungnya majlis undian bagi saingan Piala AFC di AFC House, Bukit Jalil pada hari ini.
Dalam majlis tersebut, Terengganu selaku naib juara Liga Super 2022 telah diundi dalam Kumpulan G.
Selain Central Coast Mariners yang mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), kumpulan ini turut diisi dengan juara Liga 1 Indonesia 2021-22, Bali United serta pasukan yang menamatkan saingan Liga Filipina di tempat ketiga iaitu Stallion Laguna FC.
Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia yang beraksi dalam kancah Piala AFC iaitu Sabah FC diundi dalam Kumpulan H.
Sebagai rekod, Sabah berhasil mendapatkan slot ke saingan Piala AFC selepas menghuni tempat ketiga dalam saingan Liga Super musim lalu.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini telah diundi bersama-sama Haiphong FC (naib juara Liga Vietnam), Hougang United (juara Piala Singapura) dan PSM Makassar (juara Liga 1 Indonesia 2022-23).
Untuk makluman semua, perlawanan pertama peringkat kumpulan dijadualkan bermula 18-21 September dan perlawanan terakhir pula pada 11-14 Disember.
Featured Image: AFC